
Cik Piah Idam Anak Perempuan – Serah Rezeki Pada Allah
Dikelilingi empat hero dalam rutin hariannya di rumah sebenarnya memberikan warna tersendiri buat penyampai radio Cik Piah.
Bagi dirinya, dia beruntung kerana kesemua heronya membuatkan dia sentiasa rasa selamat dan istimewa meskipun mengakui ada kalanya penat melayan telatah anak-anak dan suami.

“Kesemua anak-anak sedang membesar dan mereka masing-masing ada karakter tersendiri.
“Yang sulung banyak mengalah dengan adik-adik, yang kedua sama seperti saya dan yang bongsu memang lasak. Walaupun kesemua menguji kesabaran Cik Piah, mereka juga nyawa saya,” katanya kepada The Vokal.

Penyampai Suria FM yang juga dikenali sebagai Feeya Iskandar itu mengakui ada mengidam untuk mendapat seorang bunga jika ditakdirkan dikurniakan zuriat lagi.
Namun katanya, dia dan suami Nurashid Abd Wahab tidak merancang untuk menambah anak dalam masa terdekat kerana sepakat mahu memberikan fokus kepada anak-anak mereka yang sedang membesar.

“Kalau tanya nak tambah, memang ada tapi bukan sekarang kerana anak-anak sedang membesar. Kata orang kalau Allah nak beri rezeki kami tidak tolak dan kalau dapat baby girl, Alhamdulillah,” katanya tertawa.
Cik Piah melangsungkan perkahwinan dengan Nurashid pada Mei 2016 dan dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Adam Malique dan Nuh Aryyan masing-masing berusia 6 dan 5 tahun serta Muhammad Zidane, 3.
Baru-baru ini juga, Cik Piah mengadakan majlis sambutan hari lahir kesemua anaknya serentak memandangkan tarikh lahir mereka yang dekat antara satu dengan lain.

“Seorang pada 31 Januari, saya dan tiga lagi masing-masing pada 5, 7 dan 11 Februari. Jadi saya sekalikan, sebab tetamu yang dijemput juga dalam kalangan orang yang sama,” katanya.
Mengulas mengenai kerjayanya sebagai penyampai radio, Cik Piah megakui terus selesa dan gembira bersama Suria FM dan berharap terus ke udara di stesen itu.

“Dah 15 tahun saya jadi penyampai radio dan enam tahun bersama Suria FM dan Di Suria FM kami sangat menitik berat hubungan kekeluargaan serta saya juga ingin ucapkan kepada semua dan bos saya DJ Lin yang terus percaya kepada saya.
“Selagi orang mahu dengar suara saya dan saya masih diperlukan, saya akan terus ada. Terima kasih juga kepada semua yang tetap setia dan terus menyokong Suria FM,” katanya. – THE VOKAL