
Saya Hanya Boleh Control Diri Saya – Melly Anjur Konsert Kedua Di Malaysia
Bagi genius muzik nusantara, Melly Goeslow dia hanya boleh mengawal dirinya dalam aspek kehidupan mahupun kerjaya.
Selebihnya, empunya diri enggan mengambil pusing dan memilih untuk lebih bersikap enggan mengambil pusing.

“Saya hanya boleh kontrol apa yang keluar dari diri saya. Baik dari kehidupan atau karier tetapi tidak boleh kontrol apa yang orang lakukan, komen dan inginkan daripada saya.
“Kalau buat saya, selama itu saya lakukan di koridor yang benar dan menginspirasi banyak orang, insya-Allah akan menjadi sesuatu yang baik,” katanya pada sidang media Ada Apa Dengan Melly and Friends di sini.
Komposer lagu Ada Apa Dengan Cinta itu berkata demikian mengulas mengenai wujud sesetengah pihak seolah-olah tidak berpuas hati dengan pencapaian dirinya yang disenangi ramai pihak termasuk di negara ini.

Pemilik nama Melliana Cessy Goeslaw, 50, itu bakal mengadakan konsert keduanya di Malaysia berkata dirinya teruja untuk bertemu peminat pada 1 Jun ini.
Baginya, konsert bertemakan malam graduasi itu adalah peluang keemasan dan harapan tertinggi dalam karier seni beliau untuk menyanyi di pentas bersama artis dari negara ini namun rakan duetnya hanya akan ditentukan melalui undian yang bakal dibuka oleh stesen radio ERA buat pendengar.
“Pada konsert akan datang nanti ada penampilannya tetapi nama itu masih belum ada. Saya minta ada penyanyi dari Malaysia. Kalau impian saya, saya mahu nyanyi sama semua ya,” katanya tertawa.
Suaminya, Anto Hoed, 60, berkongsi susunan muzik pada persembahan yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, akan lebih besar berbanding tahun lepas disebabkan keluasan tempat konsert itu.

“Tahun ini susunan muziknya lebih besar kerana tempatnya luas dan pemainnya harus lebih besar dan banyak agar bisa tertutup itu semua tempat di Axiata. Mungkin akan tambah dari segi orkestra daripada 12 kepada 20 orang,” katanya.
Mengenai Konsert Ada Apa Dengan Melly and Friends, ia adalah konsep baharu dibawakan untuk peminat dan penyanyi itu tidak hadir berseorangan kerana akan menampilkan rakan-rakan yang pernah berduet serta berkolaborasi dengannya sepanjang lebih dua dekad berkarya.
Terdapat lima pilihan tiket dengan yang dinamakan Sejarah berharga RM228, Pendidikan Jasmani (RM288), Sains (RM328), Sastera (RM428) dan Matematik (RM588) yang boleh dibeli mulai 1 Mac menerusi www.ticket2u.com – THE VOKAL