
Seronok Curi Nasi Kerabu – Helah Wanita Akhirnya Kantoi
Bukan niat peniaga mahu mengaibkan pelaku, sebaliknya enggan kejadian sama terus berlaku, malah wajah si polan juga dikaburkan.
Itu luahan seorang peniaga makanan Kelantan di Permatang Pauh, Pulau Pinang selepas video seorang pelanggan wanita yang didakwa cuba mencuri makanan tular di media sosial dan menjadi perhatian netizen.

Menurut pemilik kedai yang dikenali sebagai Abe Zaini, dia berkongsi video itu kepada para pengikut TikTok sebagai peringatan agar kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
Menurut Abe Zaini, ia bukanlah kejadian pertama, sebaliknya dia mendakwa wanita itu berulang kali menggunakan taktik sama untuk mencuri makanan daripada restoran tersebut.
“Kami dah kesan kelakuan dia buat banyak kali, melebihi tiga kali… selebihnya Wallahualam. Pertama kali dia datang, dia ambil makanan dan keluar. kali kedua masih macam tu.
“Kali ketiga kami kesan dan kami plan buat video sebagai bukti dan akhirnya kantoi, ambil makanan tak bayar. Daripada mula dia ambil nasi kerabu, staf saya bungkus enam bungkus, dia ambil makanan vendor dan dia order air Nescafe ais.
“Selepas ambil semua dia tak datang cashier untuk tahu harga, sebaliknya dia terus keluar kedai. Jadi kami rasa dia niat tak mahu bayar, kami sekat dan tangkap dia,” dakwanya.

Menurut Abe Zaini lagi, pelanggan wanita itu cuba berdolak-dalik dengan memberi alasan mahu mengambil wang yang tertinggal di dalam kereta.
“Apabila kami tanya, dia jawab jawapan yang tak munasabah, dia kata tak pernah datang, tak biasa datang. Kami tarik ke belakang tanya staf yang bubuh nasi, staf kata dah banyak kali dia datang.
“Saya cakap akak kena bayar makanan ni. Dia kata duit dalam kereta. Saya pun biarkan dia pergi ambil duit dalam kereta, dan dia tak kembali,” jelasnya.

Pada masa sama, dia tidak ada masalah untuk memberikan makanan jika pihak tertentu benar-benar memerlukan bukannya mengambil kesempatan seperti apa yang berlaku.
“Kalau sesiapa tiada duit nak makan, beritahu. Ada je yang tiada duit datang nak makan, kami belanja,” katanya. – THE VOKAL