
Bayi Dikhuatiri Lemas – Tergelincir Di Sungai
Bayi lelaki berusia 18 bulan dikhuatiri lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke dalam Sungai Kanowit di Nanga Germai di Kanowit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 6.16 petang.
Katanya, berdasarkan maklumat awal daripada dua saksi, mangsa Batrick Giling Bunau berada di tebing sungai sebelum dilihat tergelincir serta terjatuh ke dalam sungai.
“Saksi turut memaklumkan ketika kejadian, ibu dan bapa mangsa sedang menjalankan kerja-kerja mengenjin padi dan tidak menyedari kehadiran mangsa di situ.

“Bomba memulakan operasi dengan teknik pencarian di permukaan namun gagal menemui mangsa ,” katanya.
Menurutnya, atas faktor keselamatan usaha pencarian dihentikan pada 8 malam dan usaha pencarian akan diteruskan awal pagi hari ini. – THE VOKAL