Cleopatra Nafi – Pernah Nikah Bekas KPN
Terkejut dan menafikan. Demikian reaksi pempangaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra yang didakwa pernah bernikah dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin.
Katanya, dia terkejut sebaik menerima satu sijil pernikahan dari negara jiran sedangkan dia tidak pernah ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai tertinggi polis itu.
Atas sebab itu, bekas calon bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memfailkan satu permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperolehi.
Sementara itu, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra, 30, mengatakan anak guamnya tidak pernah berkahwin dengan Mohd. Bakri.
Tambahnya, sebelum kes dibawa ke mahkamah hari ini, kes itu tersebut telah dirujuk ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan badan agama itu kemudian telah mengesahkan sijil nikah tersebut adalah palsu.
Ujar Akberdin, berikutan itu, anak guamnya telah membuat satu permohonan di mahkamah bagi membuktikan perkahwinan tersebut tidak pernah berlaku.
Sementara itu peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden ketika ditemui turut mengesahkan perkara sama.
Pada Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Bakri.
Nur Fathiah berkata, bekas polis tertinggi itu juga bukan merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram (IG) di mana mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya di kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai. – THE VOKAL