Jemput ‘Pengkritik Baju’ – Datang Butik QC Sendiri Koleksi Bulan Bintang
Jenama Bulan Bintang bukan saja melalui momen manis dengan pelancaran gahnya, malah turut menjadi kritikan netizen pada musim raya tahun lalu ekoran isu berkait dengan jahitan baju Melayu keluaran jenama itu.
Mengambil langkah berani, pengasas baju Melayu jenama itu Azzim Zahid Azmi menjemput sembilan ‘pengkritik’ ke butik miliknya bagi memeriksa sendiri kualiti baju keluarannya pada kali ini.
‘Pengkritik’ ini daripada kalangan mereka yang meluahkan ketidakpuasan hati di laman sosial miliknya terhadap kualiti baju Melayu Bulan Bintang pada tahun lalu.
Perkara itu dikongsikannya menerusi akaun Instagram miliknya @meripergibulat
Jelas Azzim, sembilan tetamu istimewa ini diberi peluang memilih kotak secara rawak dan memeriksa sendiri kualiti baju Melayu edisi terbaharu miliknya.
Rata-rata netizen menyifatkan tindakan pengasas Bulan Bintang ini cukup matang dan positif dalam menerima kritikan dan berusaha memperbaiki kualiti baju.
Sementara itu, Azzim menambah tujuan dia membuat sesi itu untuk memberi kebebasan kepada individu-individu tersebut untuk memeriksa sendiri kualiti produk sampai puas hati.
Dalam pada itu, usahawan muda berumur 27 tahun meluahkan rasa syukur dan lega selepas hampir 99 peratus daripada mereka memberikan maklum balas yang positif. – THE VOKAL