
Motosikal Masuk Parit – Kanak-Kanak Lima Tahun Maut
Empat individu yang menaiki sebuah motosikal terbabas masuk ke dalam parit selepas dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta.
Dalam kemalangan itu, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut, seorang daripada yang menaiki motosikal berkenaan maut selepas motosikal terbabas ke dalam parit selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Jalan Alor Pongsu, Kampung Matang Jelutong dekat Bagan Serai, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada 9.41 malam.
“Kejadian membabitkan Proton Persona dipandu seorang lelaki yang melanggar belakang motosikal ditunggang seorang wanita berusia 32 tahun berserta tiga pemboncengnya, menyebabkan motosikal itu terbabas memasuki parit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati tiga mangsa sudah dibawa oleh ambulans ke Hospital Parit Buntar, manakala wanita berkenaan dibawa oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke hospital sama.
“Kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia di hospital, manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun cedera,” katanya.
Sabarodzi berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 10.10 malam. – THE VOKAL