
Mami Pesan Jangan Tinggal Solat – Anak Saudara Arwah Bella Zahir Rasa Sedih
Anak saudara kepada arwah Bella mangsa bunuh yang ditemui di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat di Johor, melahirkan rasa sedih mengenang pesanan yang ditinggalkan.
Muhammad Daiyan Aimar Fairuzizan, 10, berkongsi pesanan arwah ibu saudaranya, yang Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32.
“Mami kerap berpesan supaya tidak meninggalkan solat dan jangan nakal. Mami pesan dengar cakap ayah dan ibu.
“Mami sangat baik dengan saya sebab itu saya sedih bila mami dah tiada,” katanya.
Muhammad Daiyan Aimar yang dijaga Bella sejak kecil itu menangis teresak-esak ketika ditemui pada majlis pengebumian Bella di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, di sini.

Memetik laporan Harian Metro, anak kepada kakak arwah, Norhisham, 36, ini berkata, sepanjang kehilangan Bella yang mesra disapanya mami, dia tidak pernah berhenti berdoa semoga ibu saudaranya itu ditemui dalam keadaan selamat.
“Setiap hari saya berdoa untuk mami. Mami yang membesarkan saya sejak kecil dan dia saya anggap macam ibu kandung.
“Saya dijaga dengan penuh kasih sayang. Saya tidak dapat menahan kesedihan bila diberitahu mami sudah tiada, saya doakan semoga dosa mami diampunkan,” katanya.
Sementara itu, anak lelaki Bella, Eusof Abdul Fatah, 4, tidak mampu berkata-kata ketika melihat jasad ibunya kebumikan.
Dia bersama adiknya, Maream Isabel, 2, dibawa ke tanah perkuburan, kelihatan terpinga-pinga seolah-olah tidak dapat menerima hakikat ibu mereka sudah tiada.
Semalam, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, atas pertuduhan membunuh Bella.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – THE VOKAL