Sindiket Kerepek – Polis Selamatkan 12 Individu
Memang ada benarnya cakap-cakap kononnya dalam kalangan penjual kerepek didalangi sindiket tidak bertanggungjawab.
Terbaru, polis menyelamatkan 12 individu yang dieksploitasi untuk menjual kerepek, keropok dan pelbagai barangan di negeri ini.
Lapan suspek yang disyaki terbabit turut ditahan dalam enam serbuan berasingan di Seremban, Kuala Pilah dan Rembau bermula 22 Januari hingga 23 Januari.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, operasi berkenaan dijalankan bertujuan membanteras eksplotasi kanak-kanak, wanita, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mengaut keuntungan.
Beliau menambah serbuan yang dijalankan juga menahan seramai 15 warga asing berusia 28 hingga 49 tahun kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.
Jelas Ahmad Dzaffir, kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Atipsom 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda.