
Che Ta Tak Tahu – Notis Diisytihar Bankrap
Pelakon dan usahawan Rozita Che Wan mengesahkan tidak tahu menahu mengenai penyebaran notis isytihar bankrap yang didakwa dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam.
Lebih mesra disapa Che Ta, dia memberitahu tidak mempunyai sebarang masalah dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana konsisten melakukan bayaran setiap bulan melalui agen yang dilantik.

“Tuduhan merepek, kalau betul mesti saya dapat dahulu notis tersebut. Saya tidak terkejut sebab saya tidak pernah lari daripada membayar cukai.
“Saya membuat pembayaran cukai menerusi agen hampir RM50,000 secara peribadi untuk sebulan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu keluarannya iaitu serum Cekang Jelita dibawah jenamanya by RCW di sini hari ini.

Dalam pada itu, dia mengakui sebelum ini dia pernah berdepan dengan masalah berkenaan cukai pada 2014 apabila ditahan di lapangan terbang KLIA sebelum berlepas London, England.
“Saya pernah berdepan isu cukai sampai di tahan di lapangan terbang, tetapi itu lama dahulu sekarang saya memang bayar cukai.
“Saya tidak mahu mahu layan benda ini kerana bukan masalah saya,” kata Che Ta. – THE VOKAL