
The Reds Bangkit Gagah – Bermula Teruk Berakhir Penuh Gaya
Ternyata Liverpool sebuah pasukan yang tidak mudah mengalah. Dalam edisi perlawanan menentang Bournemouth, pasukan itu bermula dengan prestasi hambar.
Malah pengendali pasukan itu, Jurgen Klopp mengakui bahawa pasukannya memulakan aksi menentang Bournemouth dengan prestasi yang teruk.

The Reds bagaimana pun bangkit pada babak kedua selepas membuat sedikit perubahan dan melakar kemenangan 4-0.
“Kami tidak begitu fleksibel pada babak pertama. Saya beritahu pemain bahawa kami bernasib baik kerana keputusannya masih terikat tanpa jaringan selepas berakhirnya separuh masa pertama.

“Kami membuat perubahan dan ia memberi kesan baik kepada aksi pasukan, kami menjadi lebih dinamik dan kemudian berjaya menjaringkan gol untuk menjadikan segala-galanya berubah.
“Kami mengubah formasi dan secara tiba-tiba kami menjadi lebih dominan dan sistem sokongan untuk bahagian serangan menjadi lebih baik,” katanya.

Pada aksi tersebut, Darwin Nunez dan Diogo Jota masing-masing berjaya meledak dua gol ketika membantu The Reds mengukuhkan kedudukan di puncak saingan Liga Perdana Inggeris selepas 21 perlawanan.
“Darwin hanya beraksi di bahagian sayap dan ditugaskan untuk menanti bola yang dihantarkan kepadanya, begitu juga dengan Jota tanpa mengarahkan mereka terlalu memberikan fokus kepada kerja-kerja bertahan,” jelasnya. – THE VOKAL