
Pelajar Kolej Maut Terjun Bangunan – Elak Dari Ditangkap Polis
Asal dadah jadi mudarat. Dia sepatutnya masuk ke negara ini untuk menuntut ilmu, sayangnya kerana dadah, seorang pelajar kolej maut dipercayai atas kesalahan dan pilihan sendiri.
Lelaki warga Nigeria maut selepas terjun dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban, Gelugor dipercayai cuba melarikan diri ketika serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, malam tadi.

Lelaki berusia 37 tahun yang juga penuntut sebuah kolej swasta itu ditemukan di koridor tingkat dua kondominium berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, kepada Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata dalam serbuan kira-kira 6 petang, pintu rumah berkenaan dibuka oleh seorang lelaki namun dia masuk semula ke dalam rumah selepas menyedari kehadiran polis lalu mengunci pintu.

“Susulan itu, polis terpaksa memecahkan pintu sebelum menahan seorang lelaki warga Nigeria.
“Berikutan wajah individu yang membuka pintu dengan lelaki yang ditahan itu tidak sama, pasukan polis membuat pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan sebelum menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tingkat bawah.
“Kita juga menemukan seorang lagi suspek lelaki warganegara sama di tingkat lapan kondominium berkenaan,” katanya.
Razlam berkata, pemeriksaan dalam unit rumah itu menemukan sejumlah dadah jenis syabu dan pil ekstasi.

“Jumlah kesemua dadah itu masih lagi dalam siasatan polis.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) manakala dua lagi suspek disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya. – THE VOKAL