Jangan Respon Melulu – Selebriti Wajar Dapatkan Pandangan Bila Berdepan Kontroversi
Selebriti popular, Neelofa dan Awal Ashaari sependapat artis tidak perlu terburu-buru untuk memberikan respons sekiranya berhadapan dengan krisis.
Menurut Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 35, artis harus mendapatkan pandangan orang lain sebelum memberikan maklum balas terhadap sesuatu isu atau kontroversi.
Awal yang memberi pandangan sama turut mengakui di zaman media sosial ini, selebriti perlu lebih berhati-hati.
Neelofa dan Awal ditemui pada acara Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Bangi pada Isnin.
Menjadi ahli panel untuk program terbabit, Neelofa dan Awal turut ditemani oleh Raqim Ahmad selaku Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro.
Kehadiran Neelofa, Awal dan Raqim dalam program bual bicara ini untuk melengkapkan keperluan kursus Komunikasi Krisis pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi.
Majlis turut dihadiri oleh Prof Dr Kadaruddin Aiyub selaku Dekan FSSK dan Dr Ammar Redza Ahmad Rizal selaku pensyarah kursus Komunikasi Krisis merangkap Penyelaras Strategi FSSK. – THE VOKAL