
Tambang Bas Sekolah Mungkin Naik – Susulan Peningkatan Kos Operasi
Satu lagi khabar kurang baik buat para ibu bapa yang menggunakan khidmat bas sekolah untuk anak-anak mereka apabila kadar tambang bulanan dijangkan ada peningkatan.
Kadar tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka naik susulan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan kenderaan itu terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, jumlah peningkatan itu bagaimanapun tidak sama dan ia akan bergantung kepada pengusaha bas sekolah selaku pihak yang menjalankan operasi.
Menurutnya, ia juga berdasarkan kawasan dan kos operasi selepas kerajaan tidak mengawal kadar tambang bas sekolah.
Katanya, kadar tambang bas sekolah mengikut kepada pasaran sejak Januari 2015, malah pihaknya juga tiada kuasa menetapkan perkara berkenaan.

“Memang kemungkinan ada peningkatan harga (tambang bas sekolah) untuk penggal baharu, tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana berbeza mengikut operator itu sendiri dengan mereka perlu mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa.
“Ketika ini alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar negara. Kalau dulu mungkin harga alat ganti RM100, tetapi sekarang RM120 hingga RM150 selain itu kita perlu melihat kos penyelenggaraan bulanan.
“Kita perlu menukar minyak hitam dan melihat berapa jauh perjalanan bas itu setiap bulan. Sebab itu saya kata operasi setiap operator tidak sama malah ada juga operator perlu membayar parking, kalau tidak akan disaman,” katanya. – THE VOKAL