Bakal Pengantin Mengaku Rogol – Tunang Teman Ke Mahkamah
Seorang lelaki yang bakal naik pelamin bulan depan hari ini mengaku bersalah kerana merogol seorang wanita bawah umur sehingga melahirkan bayi.
Ketika dihadapkan ke prosedur mahkamah, lelaki itu ditemani tunangnya.
Tertuduh, Mohamad Haidil Haiqal Abdullah, 20, mengaku bersalah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat di Mahkamah Sesyen Muar, Johor, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan bawah umur hingga melahirkan bayi, dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, dia bekerja kebun sawit didakwa merogol mangsa berusia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang dengan kejadian itu berlaku antara Mei hingga November 2022.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa, mangsa sudah melahirkan bayi pada Mei iaitu seminggu dia ditahan polis pada 30 April tahun lalu.
Hujahnya, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas bayi yang dilahirkan mangsa mendapati ia sepadan dengan tertuduh.
Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Mahkamah juga menetapkan 27 Februari ini untuk fakta kes, hukuman serta laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh pesalah muda. – THE VOKAL