Ayam Goreng Kunyit Kayangan – Individu Terkejut Lihat Harga RM20
Pulau Langkawi sekali lagi menjadi perhatian dengan isu harga makanan tak masuk akal.
Terbaru, seorang individu mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘cekik darah’ selepas dikenakan caj mahal sebaik makan di sebuah gerai di Pantai Cenang, Langkawi, Kedah.
Menerusi hantaran yang dibuat di kumpulan komuniti Facebook, Langkawi Sana Sini, pelanggan itu tidak berpuas hati dengan harga yang didakwa tidak masuk akal untuk ayam goreng kunyit dan nasi putih.
Turut dikongsikan adalah foto hidangan itu untuk ‘seorang makan’ bersama resit sebagai bukti.
Dia turut menegaskan hantaran dibuat bagi memberi kesedaran kepada pelancong supaya lebih berhati-hati memilih kedai makan di pulau peranginan popular itu khususnya.
Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi termasuk beberapa individu turut bersetuju bahawa harga yang dikenakan adalah tidak wajar dan meminta individu berkenaan membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut. – THE VOKAL