Bayi Dalam Kotak – Pelajar 14 dan 17 Tahun Ditahan
Polis menahan remaja lelaki dan perempuan masing-masing berusia 14 dan 17 tahun kerana dipercayai membuang bayi di dalam sebuah kotak.
Kejadian berlaku di Pusat Pengajian Islam Nur As-Salam, Kampung Bukit, Sungai Nor, Rantau Panjang di Selama, Perak pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Selama Supt Sarudin Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki bahawa dia menemukan seorang bayi perempuan di dalam kotak, yang diletakkan di pusat pengajian Islam itu kira-kira pukul 7.28 pagi Ahad.
Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditemukan dalam keadaan masih bersama uri dan tali pusat yang kemudiannya dibawa ke Hospital Selama oleh pengadu untuk mendapatkan rawatan lanjut.