
Hamdan Senario Sudah Tiada – Jenazah Dibawa Pulang Ke Ipoh
Ahli kumpulan Senario, Hamdan Ramli, 54, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor kira-kira jam 12.50 tengahari, hari ini.

Pemergian pelawak itu disahkan rakannya, Azlee Jaafar yang turut memaklumkan jenazah Hamdan dijangka akan dibawa pulang ke Ipoh, Perak, petang ini.

“Keadaan kesihatannya semakin merosot sejak dua hari lalu apabila jantung hanya 20 peratus berfungsi dan bantuan pernafasan tidak mampu menyokong arwah.
“Saya sudah menguruskan van jenazah untuk membawa arwah pulang ke kediamannya di Ipoh.

“Kami menjangkakan jenazah akan tiba sekitar jam 8 malam, tapi bila akan dikebumikan belum pasti.
“Itu perlu tanya keluarga arwah dahulu,” katanya.
Hamdan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), HSA sejak Ahad lalu kerana jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.

Ahad lalu, Hamdan sepatutnya menjayakan persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di Johor Bahru.
Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata. – THE VOKAL