
Arwah Fiza Pulang – Jenazah Terbang Dari London Dijangka Sampai Esok
Jenazah Allahyarham Fiza Kamarudin yang meninggal di kota London Khamis minggu lalu (waktu Malaysia) bakal diterbangkan pulang ke Malaysia hari ini.

Suami arwah, Mohd Roshdi Ramli memaklumkan jenazah akan berlepas pada 5 Januari 2024 dari London menuju ke Kuala Lumpur dengan penerbangan MH0003.
“Insya-Allah dijangka akan tiba di KLIA pada 6 Januari 2024 pada pukul 0715 pagi.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Kg. Baru sejurus selesai urusan di KLIA untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Raudathul Sakinah, Taman Selasih, Jalan Kl-Karak,” katanya.
Mohd Roshdi memohon semua pihak terus mendoakan agar urusannya membawa pulang jenazah isteri tercinta dipermudahkan.

“Mohon terus doakan. Semoga dipermudah semua urusan. Al-Fatihah,” katanya.
Arwah Fiza disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London, United Kingdom (UK) pada 28 Disember lalu. – THE VOKAL