Cayalah Proton! – Catat Jualan Terbaik Sejak 2012
Lebih empat dekad lalu cita-cita Tun Mahathir untuk melahirkan kereta nasional pertama pernah ditertawakan. Namun, ternyata misi negarawan itu realistik dan kini Proton semakin gemilang.
Terbaru, pengeluar kereta nasional, Proton berjaya menutup tahun 2023 dengan mencatatkan prestasi jualan terbaiknya sejak 2012 apabila mencapai pertumbuhan jualan terbaik bagi lima tahun berturut-turut.
Sebanyak 154,611 unit kereta berjaya dijual tahun lalu prestasi terbaik Proton sejak 2012 dengan jumlah jualan meningkat sebanyak 9.3 peratus berbanding 2022.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, 2023 adalah satu lagi tahun yang mencatat rekod bagi industri automotif kerana jumlah jualan melonjak sebanyak 10.3 peratus berbanding jualan tertinggi yang dicapai hanya dua belas bulan sebelumnya.
Selain daripada penawaran produk yang menarik, Proton juga menumpukan perhatian terhadap menambahbaik pengalaman jenama pelanggan di bilik pameran dan pusat perkhidmatan selepas jualan untuk menarik pembeli baharu serta membina kesetiaan dan meningkatkan pengekalan di kalangan pemilik sedia ada. – THE VOKAL