Awal, Scha Dan Keluarga Selamat – Sedang Bercuti Di Jepun Ketika Gempa Bumi Melanda
Pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya sekeluarga yang sedang bercuti di Jepun memaklumkan mereka selamat susulan negara matahari terbit itu dilanda bencana gempa bumi sejak Ahad lalu.
Awal berkata ketika kejadian itu mereka berada dalam kereta api dan tidak merasai gegaran gempa berkenaan.
Dalam kejadian semalam, gampa bumi yang berukuran 7.5 magnitud telah melanda wilayah Ishikawa tengah Jepun dan menurut laporan, ia menyebabkan kira-kira 45,700 isi rumah terputus berkalan elektrik.
Gempa bumi itu juga menyebabkan enam orang maut di Ishikawa, dan berpuluh-puluh lagi cedera di empat wilayah lain, termasuk Toyama dan Niigata, lapor penyiar awam Jepun NHK.
Dalam perkongsian Awal menerusi Instastory di akaun Instagram miliknya, dia memberitahu hanya menyedari keadaan di sana agak teruk melalui berita dan video selain ada beberapa orang rakannya yang berada di sana turut terasa gegaran di hotel mereka.
Dia juga berterima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang keadaannya dan keluarga di sana yang ketika ini sedang bercuti di Tokyo, Jepun sempena menyambut tahun baru.
Awal juga memberitahu, disebabkan selalu mengalami gempa, penduduk di Tokyo seakan-akan lali dan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.
Sementara itu, dia juga berdoa agar dia, keluarga dan kesemua yang berada di negara berkenaan dilindungi oleh Allah.
Perkongsian Awal turut mendapat komen peminat dan rakan-rakan yang mendokan mereka sekeluarga. – THE VOKAL