Terima kasih diucapkan kepada semua terutamanya rakan media, rakan artis dan orang ramai yang menghulurkan bantuan sebaik tabung Bantulah Fiza dijalankan.
Tabung yang dilancarkan oleh Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bagi membantu wartawan hiburan yang meninggal dunia di London, Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, mencecah RM40,585.34.
Presidennya Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sumbangan sudah disalurkan terus ke akaun suami allahyarham, Mohd Roshdi Ramli, 40, yang kini berada di sana.
Menurutnya, pihak keluarga masih menunggu dokumen kematian daripada pihak hospital bagi proses membawa pulang jenazah.
Menurutnya, kerjasama daripada pihak Kedutaan Malaysia di London dan sahabat media di sana menjadikan segala urusan Allahyarham dan keluarganya berjalan dengan baik.
Fiza adalah pengarang portal Boom Malaysia sebelum ini pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat media antaranya Sinar Harian, RTM dan portal Astro Gempak.
Dia yang juga pengidap kanser payudara koma di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow beberapa jam sebelum penerbangan pulang ke Malaysia selepas percutian yang ditaja, bersama keluarga.
Dia kemudian dimasukkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.30 malam (waktu Malaysia). – THE VOKAL