Restoran Berputar Menara KL Diarah Tutup – Terima Perintah Ketika Pelanggan Sedang Makan
Pasti ramai yang pernah merakam kenangan di Restoran berputar Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur yang terletak pada ketinggian 282 meter.
Restoran ikonik itu diarah menghentikan operasi sejak semalam susulan perintah pengosongan premis oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Jurucakap restoran itu mengesahkan pihaknya diberi masa selama dua minggu sehingga 4 Januari depan untuk mengosongkan premis mengikut perintah terbabit.
Memetik laporan Harian Metro, pada 5 April lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd dan seorang pengarahnya didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan atas dua pertuduhan termasuk menawar rasuah RM500,000 setahun selama 15 tahun kepada seorang ahli perniagaan bagi faedah bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Ia bertujuan mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.
Bagaimanapun, Pengarah Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terbabit dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussain dan Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, Hydroshoppe Sdn Bhd melakukan kesalahan kerana seseorang yang bersekutu dengannya iaitu Abdul Hamid Shaikh secara rasuah menawarkan wang RM500,000 setahun selama tempoh itu kepada Datuk Tan Ser Lay, 60, bagi faedah Annuar dengan niat untuk memperoleh perniagaan iaitu pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL.
Abdul Hamid Shaikh pula berdepan tuduhan menawarkan kepada individu sama suatu suapan iaitu RM500,000 dalam tempoh sama, sebagai dorongan kepada bekas menteri itu melakukan suatu perkara dicadangkan iaitu mempercepatkan proses pengambilalihan pengurusan dan pentadbiran konsesi Menara KL oleh Hydroshoppe Sdn Bhd. – THE VOKAL