“Selamat Tinggal… Jumpa Lagi!” – Jung-kook BTS Sebak Berpisah Dengan Peminat
Air Mata Jung-kook BTS bergenang kala sesi siaran langsung media sosialnya baru-baru ini. Malah suasana sayu menguasai momen berkenaan.
Bintang K-pop itu memang diketahui selalu membuat siaran langsung bersama peminat dengan pelbagai aktiviti seperti menyanyi, memasak, membasuh baju dan juga tidur.
Malah, ada di antara siaran langsungnya yang berjalan selama berjam-jam sehingga pagi.
Kisahnya, pada 11 Disember lalu, ahli BTS itu telah melakukan siaran langsung terakhirnya pada tahun ini sebelum dia menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun.
Jung-kook seperti biasa berkongsi harinya termasuk meluangkan masa bersama kawan rapat serta ahli BTS yang lain.
Namun, ketika ahli termuda BTS itu mengucapkan selamat tinggal kepada ARMY (kelab peminat BTS), peminat mendapati bahawa Jung-kook seakan sedang menahan diri daripada nangis.
Ada juga yang menyatakan bahawa mata ahli BTS itu kelihatan merah, menandakan bahawa Jung-kook mungkin baru sahaja selesai menangis sebelum melakukan siaran langsung berkenaan.
Lantaran itu, peminatnya memberikan kata-kata semangat serta berharap agar Jung-kook serta ahli BTS yang lain selamat kembali daripada menjalani latihan ketenteraan berkenaan. – THE VOKAL