“Datang Jumpa Mak Ayah Saya, Nak Letak Lokap Pun Tak Apa…” – Kakak Arwah Harap Kematian Adik Terbela
Kes kemalangan maut membabitkan seorang pelajar berusia 17 tahun yang dilanggar seorang anggota polis di Ipoh, Perak semalam mendapat perhatian umum dan tular di media sosial.
Keluarga mangsa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berharap kejadian yang menimpa mangsa dibela dan disiasat secara adil.
Nur Zawani Muhd Zamrie, 28, mahu siasatan terhadap kes itu dapat dijalankan dengan adil meskipun individu terlibat adalah seorang anggota polis.
Itu harapan disuarakan kakak kepada pelajar yang maut akibat dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, Ipoh pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dipercayai seorang anggota polis dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.
Memetik laporan Sinar Harian, Nur Zawani yang bekerja sebagai jururawat berkata, kehilangan adik bongsu daripada empat beradik itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga terutama ibu dan bapanya.
Apatah lagi menurutnya, bapanya yang membuka gerai makan tidak jauh dari lokasi turut berlari ke tempat kejadian dan menjadi saksi pemergian arwah.
Jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarga sekitar jam 6.30 petang sebaik proses bedah siasat selesai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar. – THE VOKAL