
Peminat Mula Buru Tiket – Ziana Zain Konsert 2024 Kembali Selepas 22 Tahun
Selepas penantian 22 tahun, kesuma hati ramai, primadona Ziana Zain akhirnya membawa berita gembira akan muncul di pentas Ziana Zain Konsert 2024 Mei tahun depan.

Kongsi penyanyi lagu Syurga Di Hati Kita itu, penglibatannya di dalam dua buah konsert berskala besar bersama Anuar sebelum ini menjadi kekuatan untuknya meneruskan konsert yang bakal diadakan pada 25 Mei 2024.
Ziana berkata, keyakinan tersebut juga disambut baik ramai pihak dan dia terharu melihat sokongan berterusan yang diterima daripada peminat setianya.

“Semuanya berlaku sejurus saya selesai melakukan konsert duet bersama Anuar Zain di Kuala Lumpur dan Singapura sebelum ini. Rasa seronok pula.
“Kemudian Alhamdulillah saya dapat pelawaan daripada Anuar Zain Network dan rakan kerjasama lainnya untuk jayakan konsert solo saya. Mengapa tidak untuk cuba?

“Tetapi bila pihak mereka sudah buat tawaran tersebut, ada juga pihak lain yang turut berminat. Namun saya tolak dengan cara baik, bukan tak mahu bekerjasama. Malah rasa terharu bila ada pihak yang sudi taja.
“Tapi saya punya cara, first come first serve. Pegang pada janji. Sebab bagi saya yang paling penting pada malam itu nanti ialah pemilhan lagu-lagu yang boleh berikan impak,” katanya.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Ziana Zain Konsert 2024 di Menara KL, pada Rabu.
Sementara itu, Ziana tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja menonton video dedikasi istimewa sempena konsert tersebut daripada empat orang anaknya.

“Aiman doakan mama konsert berjalan dengan lancar dan juga meriah. Jangan risau mama, kami adik beradik ada untuk support mama.
“Terima kasih mama kerana berada di sisi kami sejak kami kecil. Terima kasih untuk segalanya dan kami sayangkan mama,” kata anak sulungnya, Muhammad Aiman Armin Zaharin, disusuli ucapan adik-adik.

Ziana Zain Konsert 2024 ditaja oleh CSA Academy, anjuran bersama Anuar Zain Network Sdn Bhd dan Ziana Zain Network Sdn Bhd serta dengan kerjasama Altus Prohouse.
Konsert istimewa itu bakal menyaksikan gabungan hasil kreatif muzik dan pentas dari Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik serta 16 orang pemuzik profesional manakala Jennifer Thompson berperanan sebagai pengarah konsert.

Jangan ketinggalan untuk dapatkan tiket konsert yang bakal dilangsungkan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur ini bermula pada harga RM288 (Gold) RM1088 (VIP 1) di laman web ticket2U bermula hari ini, jam 10.00 pagi.
Kelompok peminat Ziana iaitu Zianafolks juga memulakan kempen dan misi memburu tiket konsert sejak diumumkan Rabu lalu.
Rata-rata mereka membanjiri garis masa media sosial dan menanti untuk memastikan mereka memiliki tiket menonton Diva kesayangan ramai itu.
Kali terakhir Ziana muncul dengan konsert solo adalah pada tahun 2001 menerusi konsert Ziana Zain In The Park di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur. – THE VOKAL