Nas-T Sedar Pemilihannya Selaku Keluang Man Dipertikai Umum – “Saya Tak Boleh Puaskan Semua Orang!”
Sekian lama berteka-teki untuk mengetahui gerangan pelakon yang bakal menggalas watak Keluang Man, akhirnya terjawab apabila nama Nas-T diumumkan.
Nas-T atau nama penuhnya Nas Muammar Zar Nasruddin, 40, ketika ditemui berkata, dia langsung tidak menyangka akan menjadi pilihan penerbit untuk menyarung kostum adiwira ikonik tanah air itu.
“Dalam ratusan orang yang menghadiri sesi uji bakat yang turut dihadiri para pelakon senior dan berpengalaman, tak disangka-sangka rezeki berpihak kepada saya.
“Masa umur 12 tahun, setiap kali disiarkan di kaca TV, saya mesti tonton, jarang terlepas. Selain tu, siri animasi terbitan Marvel dan DC juga merupakan kegilaan saya.
Mengulas tentang watak Keluang Man, aktor sasa itu sedar saiz tubuhnya jauh berbeza dengan fizikal sebenar Borhan seperti yang dipertontonkan di layar kaca sekitar era 90-an dulu.
Pun begitu, bintang filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa terbabit memberitahu, pengarah naskhah berkenaan, Anwari Ashraf terlebih dahulu berpesan agar dia mengecilkan badannya.
“Selepas itu, ketika melakonkan peranan selaku ahli bomba, saya sudah kecilkan sedikit. Jadi sekarang, nak kasi lean saja, tak nak bulky,” ceritanya yang telah bersedia berdepan dengan sebarang kritikan.
Menurut Nas-T yang mula dikenali menerusi siri KITA itu, semua orang ada cita rasa masing-masing untuk membayangkan pelakon pujaan mereka memperoleh peranan tersebut.
“Namun, saya bersedia terima segala kritikan yang membina demi meningkatkan prestasi kerja sedia ada. Saya pun tak boleh nak puaskan semua orang,” tuturnya membalas pertikaian umum.
Selain Nas-T, turut diumumkan tiga watak pembantu iaitu Shamsir yang dilakonkan oleh Remy Ishak, Ahmad (Datuk Rosyam Nor) dan Inspektor Sahab (Anwar Beg Mughal).
Sebagai rekod, Anwari adalah pencipta bersama filem trilogi Polis Evo serta pengarah drama premium popular, Projek: High Council dan Projek: Anchor SPM, di samping turut bertindak sebagai penulis skrip.
Astro Shaw kini dalam fasa praproduksi dan sesi penggambaran dijadualkan bermula April 2024, sementara dijangkakan masuk panggung pada 2025. – THE VOKAL