Akui Khilaf 8 Bulan Bersekedudukan, Duda Kesal Hasrat Bernikah Ditolak, Keluarga Kekasih Tuduh Guna Sihir
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki meluahkan rasa kecewanya sebaik mendapat tahu kekasih hati telah ‘dilarikan’ oleh ibu bapa wanita tersebut dari rumah sewa mereka.
Berusia 35 tahun, lelaki mahu dikenali sebagai Azizie itu menjelaskan, dia dan teman wanitanya, Izaty, 27, tinggal bersama di sebuah rumah sewa terletak di Jalan Klang Lama sejak lapan bulan lalu.
“Keputusan itu terpaksa dibuat setelah Izaty dihentikan kerja dan menganggur. Dek rasa simpati dan pada masa sama menyayanginya, saya bawa dia tinggal serumah.
“Selama lapan bulan hidup di bawah satu bumbung, sayalah yang menanggung segala kos perbelanjaan termasuk makan minum kami berdua hasil duit upah kerja yang tidak seberapa,” kongsinya kepada THE VOKAL pagi tadi.
Ditanya tentang tindakannya bersekedudukan dengan wanita tanpa ada sebarang ikatan yang sah, tanpa basa-basi Azizie akui menyedari ia adalah haram di sisi Islam.
Akui menyesali khilafnya, maka dia telah berjanji terhadap Izaty yang berasal dari Pulau Pinang itu akan menikahi wanita tersebut menjadi isterinya dan sudah pun menabung bagi mengumpul wang demi menyempurnakan hal wajib dahulu.
“Tapi betapa kecewanya saya ketika tengah sibuk bekerja, dimaklumkan oleh pengawal keselamatan bahawa ibu bapa Izaty telah memaksanya pulang bersama mereka.
“Meski Izaty sendiri menyuarakan kerelaannya mengikuti ke mana sahaja saya pergi, malangnya saya dituduh telah membomohkan anak gadis mereka,” dedah anak kelahiran Kuala Lumpur itu.
Menurut lelaki terbabit, menuduhnya mengamalkan ilmu hitam adalah sesuatu yang sangat melampau biarpun sedar diri, dia bukan umat Islam yang sempurna amal ibadahnya.
Azizie tegaskan, tujuan dia menguar-uarkan kisah percintaannya bukanlah untuk meraih publisiti, cuma berharap agar kedua-dua orang tua Izaty mendengar hasrat disuarakannya, sekali gus menyedari keikhlasan dirinya mengahwini gadis berkenaan. – THE VOKAL