Hilang Sabar, Zara Zya Buat Laporan Polis Dakwa Pernah Jadi Mangsa Gangguan Seks Dan ‘Scammer’
KUALA LUMPUR – Aktres Zara Zya tampil membuat laporan polis terhadap dua individu berkaitan dengan kes penipuan dan gangguan seksual, baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Zara berkata laporan pertama dibuat susulan tindakan seorang individu yang telah menyalah guna gambar miliknya untuk tujuan penipuan atau scam.
Manakala, laporan kedua dibuat berikutan tindakan seorang individu yang mengganggunya dengan menghantar mesej dan gambar berbaur lucah.
“Anda berani buat, jangan fikir saya tak berani untuk ambil tindakan. Saya telah mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis ke atas dua individu.
“Seorang yang terlibat menggunakan nama dan gambar saya dalam penipuan/scam pelaburan dalam talian Facebook (Kerja Kosong Ipoh 2023) baru baru ini.
“Dan, laporan polis juga telah dibuat ke atas individu yang telah melakukan ‘sexual harrasment’ ke atas saya dengan gangguan secara lisan, hantaran gambar-gambar tidak sopan dan juga panggilan yang bertubi tubi setiap malam yang mengganggu emosi saya.
Dalam hantaran sama, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin turut memuat naik gambar dirinya memegang kertas laporan yang telah dibuat.
Selain itu, aktres berusia 37 tahun itu turut berkongsi tangkap layar memaparkan sebuah akaun Facebook yang dipercayai menggunakan gambar miliknya untuk tujuan scam.
Zara juga turut memuat naik rakaman panggilan telefon daripada indvidu yang mengganggunya. Menerusi rakaman tersebut, individu terbabit telah mengeluarkan kata-kata kurang sopan iaitu ‘saya suka body awak’.
Aktres itu juga mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM dan berharap dua individu tersebut menerima tindakan sewajarnya.
“Terima kasih pada pihak PDRM kerana telah mengambil keterangan saya dan saya berharap tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pelaku pelaku ini,” ujarnya. – THE VOKAL
Sumber: GEMPAK