Bakal Hasilkan Siri Seram, Pengarah Adik-beradik, Pierre Dan Mikail Andre Turun Padang Cari Muka Baharu
IPOH – Sewajarnya pujian diberikan kepada pasangan pelakon dan pengarah adik-beradik, Pierre serta Mikail Andre yang baru-baru ini tampil membuka peluang kepada muka baharu untuk diuji bakat.
Menurut Mikail, sesi uji bakat yang berlangsung di Sarang Port And Studio di sini pada 7 Ogos lalu berjalan dengan lancar dan sangat meriah.
“Idea untuk mengadakan sesi uji bakat di Ipoh, bukannya di Kuala Lumpur seperti kelaziman kerana mahu anak-anak muda yang tinggal di luar bandar juga berpeluang untuk bergelar pelakon,” ujarnya.
Ulas bintang filem Sniper itu, selama ini calon-calon terpaksa menempuhi perjalanan jauh untuk ke Kuala Lumpur semata-mata mahu menghadiri sesi uji bakat dan situasi tersebut disifatkan sangat berisiko.
Justeru Mikail berkata, cukup sayang sekiranya membiarkan muka-muka baharu di luar sana yang berkemungkinan mempunyai bakat besar untuk berdepan risiko berbahaya, sekali gus merugikan industri.
“Jadi inisiatif memanggil bakat baharu ini adalah untuk projek YouTube Andre Brothers Pictures dengan kerjasama Sarang Port And Studio.
“Dengan pendedahan sebegini, kami dapat mencungkil bakat baharu sekali gus mencari pelakon untuk projek yang sedang dijalankan ini,” ujarnya di samping menyuarakan hasrat mahu menggerakkan komuniti seni di Ipoh.
Untuk info, projek yang sedang dua beradik itu usahakan akan memulakan penggambaran pada September depan dan ia merupakan sebuah naskhah seram yang dijadualkan siaran di saluran YouTube Andre Brothers Pictures.
Jelas Mikail, setakat ini skrip drama bersiri tersebut sudah siap sebanyak 10 episod dan menunggu para pelakon untuk beraksi di hadapan kamera terdiri daripada wajah lama dan baharu. – THE VOKAL