Perkahwinan Selama 34 Tahun Terlerai, ND Lala Sah Ceraikan Isterinya Dengan Menggunakan WhatsApp
KUALA LUMPUR – Status perkahwinan ibu bapa Shila Amzah akhirnya terjawab apabila ibunya, Fauziah Sarman akui telah diceraikan Datuk ND Lala menerusi aplikasi WhatsApp.
Fauziah memberitahu, dia dimaklumkan mengenai lafaz cerai tersebut menerusi satu pesanan mesej yang dihantar oleh penyanyi terbabit pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar.
“Assalammualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya – saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
“Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp,” ujarnya.
Ibu kepada penyanyi, Shila Amzah itu mengumumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di Instagramnya.
Dalam perkongsian sama, Fauziah tetap berlapang dada menerima ketentuan Illahi dan yakin dengan doanya serta doa-doa mereka yang sentiasa berada bersamanya selama ini untuk kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna.
Malah, tulis Fauziah lagi, dia berkongsi makluman tersebut untuk menjelaskan statusnya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwanya sendiri untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan mereka selama 34 tahun.
“Apa yang telah saya lalui telah saya redhakan dan Insya-Allah saya yakin aturan Allah SWT ini adalah yang terbaik buat saya. Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.
“Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredhai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.
“Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua,” kongsinya.
Terdahulu, status perkahwinan mereka mula menjadi tanda tanya setelah timbul dakwaan mengatakan rumah tangga mereka goyah sejak ND Lala didakwa berkahwin lain. – THE VOKAL