Peminat Sepanyol Jadi Ilham Dolla Untuk Lancar Lagu Damelo, SonaOne Jadi Guru Bahasa Latin
Pemenang Anugerah Kumpulan Popular ABPBH35, Dolla kini tampil dengan single terbaharu mereka berentak dan berbahasa Latin yang diberi judul Damelo.
Dolla ketika ditemui sewaktu majlis pelancaran single tersebut pada Rabu lalu berkata, kehadiran peminat dari negara Eropah itu telah memberi mereka ilham untuk menghasilkan Damelo.
“Di Twitter, kami dapati ada beberapa status yang dimuat naik telah diterjemah kepada bahasa Latin. Rentetan itu, ia memberi kami idea untuk menghasilkan sebuah lagu yang ada ‘vibes’ Mexico,” ujar seorang anggota Dolla iaitu Tabby.
Pada masa sama, Dolla menjelaskan, peminat mereka yang berbahasa Latin ramai yang berasal dari Brazil dan Argentina.
“Lebih menarik, mereka lebih gemar mendengar versi lagu Dolla dalam bahasa Melayu berbanding yang diterjemah kepada bahasa Inggeris,” tambah anggota lain, Sabronzo.
Menurut Sabronzo, lirik asal Damelo sebenarnya ditulis dalam bahasa Latin dan kemudiannya dialih ke bahasa Melayu dan Inggeris oleh penyanyi rap wanita iaitu Sya.
Syasya pula menambah, ia diterbitkan oleh Joshua Tan atau lebih dikenali sebagai Hard Lights.
Sementari itu, Angel memberitahu, Dolla terpaksa belajar menyebut bahasa Latin dengan menggunakan khidmat penyanyi rap terkenal, SonaOne.
Video muzik Damelo sudah boleh ditonton di laman YouTube rasmi Dolla Vevo bermula jam 9 malam ini. – THE VOKAL