Ibu Ubai Meninggal Dunia Akibat Kanser Ovari, Shila Amzah Titip Ucapan Sebak – “Lagi Seminggu Je Mak…”
KUALA LUMPUR – Ibu kepada tunang Shila Amzah yang juga pempengaruh terkenal, Ubai iaitu Allahyarham Rohani Jamal disahkan meninggal dunia pada jam 6.45 petang tadi akibat menghidap kanser ovari tahap tiga.
Berita duka itu dimaklumkan sendiri oleh Ubai menerusi satu hantaran di akaun media sosialnya dan turut dikongsikan oleh Shila.
Dalam hantaran yang sama, Ubai atau nama lengkapnya, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, juga turut membuat coretan luahan isi hatinya atas pemergian ibu tercinta.
“Hilangnya doa seorang ibu. Berat dugaan ni untuk Ubai, tapi Ubai reda. Berehatlah mak. Mak seorang ibu yang baik, semua orang senang dengan mak.
“Ubai ingat semua pesan mak, Ubai tak pernah lupa. Terima kasih mak, sebab jadi tempat untuk Ubai mengadu, untuk Ubai minta nasihat.
“Ubai janji akan jaga adik beradik semua. Terima Kasih Emak, Ubai sayang Mak sangat-sangat,” coretnya.
Sementara itu, Shila menerusi perkongsiannya turut berkongsi rasa hati atas pemergian bakal ibu mentuanya itu ke hadrat Illahi.
“Mak adalah ibu yang baik dan penyayang, isteri yang baik, anak yang baik, kakak yang baik, sahabat yang baik. Semua orang sayangkan mak.
“Sha sayang mak. Selamat pergi ke nageri abadi, al-Fatihah,” tulisnya.
Terdahulu, ibu Ubai mula dimasukkan ke PPUM selepas mengalami pendarahan pada bahagian rahim sejak 8 Julai lalu.
Sebelum ini, ibunya sudah pun menjalani pembedahan membuang ovari selepas disahkan menghidap kanser di organ berkenaan pada Januari lalu.
Ubai dan Shila mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada minggu hadapan. – THE VOKAL