Pempengaruh Dan Jutawan Kripto, Fernando Perez Dibunuh, Tubuh Dikerat Dan Disumbat Dalam Bagasi
BUENOS AIRES – Tubuh seorang influencer jutawan ditemui dalam keadaan tragis, di mana anggota badannya dikerat sebelum disumbat ke dalam bagasi.
Mayat Fernando Perez Algaba, 39, ditemui dalam beg pakaian berwarna merah yang dibuang ke dalam sungai di Ingeniero Budge, Buenos Aires, Argentina, pada 23 Julai lalu, selepas dilaporkan hilang pada 19 Julai.
Sekumpulan kanak-kanak dilaporkan menemui beg pakaian itu ketika bermain di tepi sungai tersebut dan ibu bapa mereka memaklumkan kepada polis.
Media tempatan melaporkan, anggota badannya dikerat dengan baik, menunjukkan ia mungkin dilakukan oleh seorang profesional.
Apabila polis menggeledah rumah mangsa, mereka tidak menemui telefon bimbit atau dompetnya.
Sebelum dilaporkan hilang, Algaba memuat naik perkongsian di laman sosial dengan kapsyen yang mempunyai maksud mendalam.
“Sungguh luar biasa bagaimana terdapat orang jahat di dunia ini di mana semasa anda berfikir untuk membantu mereka, mereka berfikir untuk memusnahkan anda,” demikian memetik perkongsiannya.
Bedah siasat ke atas mayat Algaba menunjukkan dia telah ditembak tiga kali sebelum dikerat dan disumbat ke dalam beg pakaian. – THE VOKAL
Sumber: MIRROR