Baby Shima Umum Akan Bertanding Dalam PRN – “Fikir-fikirkanlah Anak Muda, Undi Saya!”
KUALA LUMPUR – Penyanyi, Baby Shima, 30, memaklumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.
Bagaimanapun, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli tidak memaklumkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana dan di negeri mana dia akan tandingi.
Shima berkata, misinya bertanding semata-mata kerana mahu membela nasib rakyat.
“Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding PRN ini untuk berkhidmat dan membela rakyat.
“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shima menegaskan dia serius dan merancang mahu bertanding sebagai calon Bebas.
“Saya memang serius mahu bertanding. Kawasan mana, saya akan umumkan nanti.
“Bagi saya, dengan sokongan yang diberikan, golongan artis sebenarnya boleh mewakili rakyat terutamanya dalam menyuarakan hasrat anak-anak muda.
“Saya cuma mahukan yang terbaik untuk rakyat. Kalah atau menang itu soal nombor dua. Tidak salah untuk mencuba perkara baik. Doakan saya ya,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Perkongsian terbabit setakat ini mendapat lebih 6,000 tanda suka daripada pengikutnya. Malah ada yang menyokong hasratnya ini.
Untuk rekod, pembabitan artis atau selebriti dalam arena politik bukan fenomena baru di negara kita.
Mereka antaranya Aishah, Dira Abu Zahar, Herman Tino, Azwan Ali, Ahmad Idham, Datuk Eizlan Yusof dan Lando Zawawi pernah tampil sebagai calon pilihan raya sebelum ini. – THE VOKAL
Sumber: HARIAN METRO