[V] “Trofi Ini Besar Maknanya Buat Karier Saya” – Tyzo Berterima Kasih Kepada Rara, Pasangan Paling Ideal
KUALA LUMPUR – Deejay Suria FM, Tyzo Xander berjaya melakar sejarah peribadi apabila dinobatkan selaku Penyampai Radio Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH35) pada Jumaat lalu.
Penyampai yang dikenali menerusi slot Suria Petang bersama rakan konti, Rara itu akui sangat terkejut tatkala mendengar namanya diumumkan sebagai pemenang kategori tersebut.
“Anugerah ini sangat besar maknanya buat karier saya,” kata pemilik nama sebenar Tuah Zoqarnain Idris itu ketika diminta mengulas kemenangannya.
Menurutnya lagi, Rara atau Sharifah Shahira selaku pasangan penyampai banyak memainkan peranan dalam mengembangkan kariernya di konti Suria FM.
Tyzo mengatakan, dia amat berterima kasih kepada Rara kerana sangat memahami dan menganggap wanita itu sebagai pasangan paling ideal pernah bergandingan dengannya.
“Apabila mengutarakan sesuatu topik ketika Suria Petang bersiaran, pilihlah apa sahaja, mudah untuk kami bercakap mengenainya,” ujarnya yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam dunia penyiaran radio.
Tambah Tyzo, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi yang sentiasa mendengarkan beliau bersama gandingannya, Rara di segmen Suria Petang dan menghargai kerja serta bakatnya selama ini.
“Saya percaya ramai pendengar yang menyukai gandingan kami berdua dan dengan kejayaan ini, saya akan lebih berusaha memberikan yang terbaik kepada para pendengar.
“Juga tidak dilupakan, terima kasih kepada ahli keluarga, adik-beradik dan keluarga saya di Suria FM yang sentiasa memberikan sokongan, sememangnya jasa kalian tidak dapat dilupakan.
Pada masa sama, anak kelahiran Ipoh itu turut meluahkan rasa sedihnya apabila arwah ibunda tercinta, Allahyarham Hasnah Shaari tidak berpeluang melihat kejayaan beliau menggenggam trofi Penyampai Radio Popular ABPBH35 itu. – THE VOKAL