“Barkoba Menang!” – Begitulah Laungan Penonton Saat Nama Bell Ngasri Diumum Bintang Paling Popular
KUALA LUMPUR – Selepas hampir empat dekad bergelar anak seni pelakon serba boleh Bell Ngasri dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 35 (ABPBH35) yang diumumkan malam tadi.
Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri menjadi antara pemenang underdog kerana hanya mencipta tular beberapa minggu sebelum undian ditutup dengan watak Barkoba yang dibawanya dalam beberapa siri sebelum ini.
“Terima kasih juga kepada ibu saya yang sanggup bawa saya naik bas dan susukan saya sejak kecil dan menceburkan diri dalam bidang seni,” katanya.
Kemenangan Bell itu memang sudah dijangka selepas dia tular di media sosial sepanjang kempen ABPBH35 dan mendapat liputan meluas media.
Ramai netizen dan peminat menyifatkan Bell wajar diangkat kerana sudah lama bergelar pelakon sejak zaman kanak-kanaknya sekitar tahun 1987.
Tidak ketinggalan, Bell yang telah berkecimpung selama 37 tahun sebagai pelakon itu turut mengucapkan terima kasih kepada arwah Mamat Khalid yang mencipta watak Barkoba.
“Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penciptanya, Allahyarham Mamat Khalid,” ujar Bell.
Kemenangan itu membolehkannya membawa pulang trofi, barangan eksklusif Fellera Skin dan pakej menunaikan umrah.
Sebelum itu dia juga berjaya mendominasi kategori Anugerah Artis Komedi Popular.
ABPBH35 juga mengiktiraf dua anugerah khas kepada penyanyi Yuna dan Tan Sri Michelle Yeoh. – THE VOKAL