Afiq Muiz Akhirnya Sah Bercerai, Jatuhkan Talak Satu Terhadap Pachara, Tarik Balik Kes Nusyuz
KUALA LUMPUR – Pelakon, Afiq Muiz, 31, dan isterinya, Pachara, 32, sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Ampang, semalam.
Peguam syarie mewakili Afiq iaitu Mohd Yazit Sa’at memaklumkan, anak guamnya membuat lafaz cerai terhadap Pachara di hadapan hakim, Afif Sofiuddin Syeikh Abd Ghani selepas masing-masing bersetuju menyelesaikannya secara baik.
“Ada beberapa perkara dipersetujui antaranya pihak Pachara bersetuju untuk menggugurkan semua haknya seperti nafkah edah, mutaah, tunggakan nafkah isteri dan hutang dalam perkahwinan.
“Kedua, Afiq bersetuju untuk menarik semula kes nusyuz yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Yazit berkata, perbincangan sudah dilakukan antara peguam kedua-dua pihak dan anak guam masing-masing bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau dakwaan di media sosial.
“Jadi, akhirnya perkara ini dapat diputuskan. Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau dakwaan dalam media sosial selepas perceraian,” katanya.
Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara atau Nur Aaira Mahadeya pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga. – THE VOKAL
Sumber: BERITA HARIAN