Bekas Jurulatih Skuad Harimau Malaya, B Sathianathan Meninggal Dunia Akibat Penyakit Kanser
KUALA LUMPUR – Dunia sukan bola sepak kehilangan seorang jurulatih berwibawa iaitu B Sathianathan yang meninggal dunia hari ini.
Menurut laporan Awani, difahamkan, mendiang meninggal dunia selepas setahun bertarung dengan kanser.
Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu, dilaporkan meninggal dunia pada usia 65 tahun hari ini.
Mendiang menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya dari 2007 hingga 2009.
Antara rekod cemerlang mendiang ialah membimbing skuad B-23 negara dari 2006-2008 dengan kejayaan menjuarai Pesta Bola Merdeka pada 2007 dan menjadi naib juara pada 2008.
Mendiang yang berasal dari Perak juga pernah membawa Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010 selain membimbing ATM dan Felda United menjuarai Liga Perdana, masing-masing pada 2012 dan 2018. – THE VOKAL