Ziana Zain Berdoa Untuk Mengingati Kesedihan Demi Waktu – “Ya Allah, Bantulah Saya Rasai Perasaan Sakit”
KUALA LUMPUR – Wanita ini sudah menoktahkan kisah sedihnya setelah empat tahun berjuang melawan rasa galau dan kemelut rumah tangga dalam hidupnya.
Kongsi Ziana Zain, dia memilih untuk memadam rasa sedih dalam dirinya dan hanya mahu bersyukur serta mengenang rahmat Allah.
Namun, demi single duet Waktu bersama Hasif Upin, pelantun lagu Putus Terpaksa ini berdoa kepada Tuhan untuk membantunya diberikan perasaan sakit.
“Saya sudah lama lupakan rasa sakit, saya minta pada Allah bantulah saya dapat perasaan sakit bagi saya bekerja dan menyampaikan lagu Waktu.
Jaguh Voice of Asia Kazakhstan pada 1995 ini menambah, dirinya bersyukur selepas 15 tahun, Allah permudahkan single barunya bersama bakat besar Hasif.
Akuinya, dia memang seorang yang cerewet dalam memilih lagu untuk disampaikan dan memastikan ia sebuah karya yang baik.
“Saya kena cerewet kerana peminat tahu Ziana Zain pasti akan ada lagu hit setiap kali melahirkan album dan itu faktor yang sangat penting,” katanya.
Mengenai duet dengan bakat baru, Ziana memuji kebolehan Hasif dan terbuka memberi peluang kepada pemuda itu menggorak langkah dalam industri.
Bagi bintang filem Maria Mariana ini, dirinya juga pernah menjadi orang baru satu ketika dulu dan diberikan peluang oleh senior ketika itu untuk bergandingan dengannya.
Pada masa sama ibu tunggal kepada empat cahaya mata ini juga mengakui masih mencari lagu yang sesuai untuk single solonya.
Dia terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa saja komposer yang sudi seperti mana lagu Waktu yang dihasilkan oleh bakat muda iaitu Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Joh Jeeves.
Lagu itu hasil usahasama Ziana dan Armani Entertainment iaitu syarikat pengurusan Hasif. – THE VOKAL