
31 Pegawai, Anggota Polis KL Dibuang Kerja
Sebanyak 31 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibuang kerja atas pelbagai kesalahan sejak Januari hingga November lepas.

Menurut laporan Astro Awani, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata jumlah itu berkurangan berbanding sejumlah 40 pegawai dan anggota yang dibuang kerja bagi tempoh sama tahun lepas.
Tambah Allaudeen, anggota polis adalah petugas barisan hadapan untuk masyarakat dan amat penting bagi pasukan beruniform itu meningkatkan disiplin selain menjalankan tugas mengikut prosedur operasi standard.
“Sentiasalah menjalankan tugas dengan berintegriti kerana integriti bukan sahaja mencerminkan imej seseorang pegawai dan anggota polis, malah ia melambangkan identiti Polis Diraja Malaysia,” katanya ketika berucap pada perhimpuan bulanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Allaudeen, sebanyak 93 anggota dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan selain 34 anggota dinaikkan menjadi Sarjan Mejar.
“Kenaikan pangkat bukanlah suatu kemegahan sebaliknya merupakan suatu amanah dan tanggungjawab yang berat untuk dipikul. Maka galaslah amanah dan tanggungjawab ini sepenuh hati dan berkhidmatlah dengan profesional serta integriti yang tinggi setiap masa,” katanya. – THE VOKAL